PERUTUSAN PENGARAH

Tahun 2001 bakal menyaksikan beberapa perubahan ketara bagi warga Jabatan Laut Sarawak. Jabatan akan melangkah maju seiring dengan peredaran masa bagi memenuhi matlamat kita untuk memberi peningkatan perkhidmatan kepada pelanggan tanpa mengabaikan keselesaan tempat kita bertugas.

Kompleks baru Jabatan di Sarikei dan Sibu membolehkan perancangan dan tindakan Jabatan dipusatkan di satu tempat, malah kompleks ini juga dilengkapi dengan kemudahan rumah kakitangan. Manakala Pusat kecemasan laut di Muara Tebas dan Kuala Baram membuktikan kesungguhan kita untuk lebih bersedia bagi menangani masalah kemalangan di air selaras dengan moto Jabatan, " KESELAMATAN DI LAUT ADALAH URUSAN KAMI ".

Perubahan fisikal tidak akan membawa makna sebenarnya andaikata kita masih mengamalkan sistem kerja yang tidak selari dengan keperluan semasa. Justru itu mana-mana proses kerja yang menghambat keberkesanan tindakan hendaklah diteliti semula dan diperbaiki. Forum mesyuarat mingguan Bahagian dan unit yang telah diperkenalkan awal tahun ini adalah tempat yang sesuai menghalusi perkara ini.

Kecemerlangan organisasi banyak bergantung kepada kualiti personel yang ada di Jabatan ini. Kita akan terus memberi perhatian utama terhadap peningkatan kemahiran dan pembiasaan dengan peralatan baru, dasar-dasar dan peraturan semasa melalui program latihan dalaman dan luar bagi semua peringkat anggota.

Mengikut perancangan urusan kenaikan pangkat beberapa jawatan akan dilaksanakan tahun ini dan proses pengisian jawatan kosong turut dilaksanakan juga. Cabaran kita tahun ini dan tahun-tahun mendatang antaranya ialah membina sikap positif terhadap nilai-nilai kerja yang baik dan memberi imej baru kepada Jabatan bagi merealisasi visi kita menjadikan Malaysia sebuah negara maritim bertaraf dunia menjelang 2020.

 

Wan Endok Wan Salleh
Pengarah Laut Sarawak

Laman Utama
| Maklumbalas